Wednesday, January 11, 2012

sambungan..gerhana seorang da'i


“ Umi risau Kak Long sorang-sorang di sana. Pihak lelaki minta diawalkan,”

Umi memujuk Wafa’ dengan penuh rasa kasih selaku seorang ibu. Wafa’ diam seribu bahasa. Dia memandang langit biru yang kelam. Malam itu bintang tidak kelihatan. Nak hujan kot, bisik Wafa’ membuat tekaan sendiri. Umi bangun dari katil, mendekati Wafa’ yang berdiri di sisi tingkap.

“ Boleh Kak Long? Kak Long cuti ada lagi 2 bulan lebih , sempat kalau Kak Long nak menyediakan diri,” Umi memujuk lagi. Hati ibu mana tidak resah melepaskan puteri sulongnya merantau ke negara kuffar sendirian tanpa mahram di sisi.

“ Abah tak kata apa-apa?”

“ Abah pesan jangan paksa Kak Long,”

“ Dah tu?” Wafa’ merespon sedikit kasar. Hatinya bengang. Janji waktu bertunang dulu pihak lelaki sanggup tunggu hingga dia menyelesaikan degree nya. Tapi sekarang lain pula bunyinya...

“ Bukan soal janji Kak Long. Tapi soal Kak Long di ganggu di sana,”

Wafa’ memejam matanya erat, sedih bercampur kesal. Dia mula menyalahkan dirinya kerana menceritakan peristiwa dia di ganggu oleh pemuda berkulit hitam setiap hari. Kalau tak cerita, tak akan jadii macam ni....!! Wafa’ beristighfar, terasa syaitan mula merangsang amarahnya sekali gus menghangatkan emosinya. Dia seperti mahu mengungkit kisah silam. Wafa’ bertunang pun atas gesaan keluarganya. Yang paling menyentuh hati, pertunangan di adakan dalam suasana yang sangat tergesa-gesa, beberapa hari sebelum dia berangkat ke United Kingdom 2 tahun lalu. Dia beristighfar lagi....dia terlupa hidup ini diatur Allah dengan sebaik-baik pengaturan. Tiada silap tiada cela. Belajarlah menerima rentetan perjalanan yang adakalanya sangat memeritkan. Inilah kehidupan....

“ Lagi setahun setengah aja,bukannya lama mak,” Wafa’ bersuara lagi setelah menyepi agak lama. Umi mengurut bahu Wafa’ dengan tangan kanannya. Hati umi sentiasa berdoa semoga dibukakan hati puteri kesayangannya.

“ Dia tak apelah, dah ada Master, Kak Long ni harapkan sijil matrikulasi tu aja.”

“ Kan tak elok kalau dah berumur nanti baru nak kenduri. Dia pun dah nak masuk 25, nak tunggu lama-lama tak sopan. Tak elok bertunang lama-lama,”

“ Dulu, kenapa tak cakap pun yang bertunang lama-lama tu tak elok? Kenapa sekarang baru nak ungkit? Dah tak tahan?!” Wafa’ melepas geram. Hatinya mula membara.

“ Kak Long, solehnya mulut tu,” Umi menegur keceluparan mulut puterinya.

“ Umi dah jemu jaga Wafa’ ke? Kanapa begitu cepat umi nak bagi orang lain yang didik Wafa? Wafa’ tau Wafa’ banyak menyusahkan hati mak.”

“ Bukan macam tu Kak Long. Umi risau sangat Kak Long di sana. Setiap malam umi doa untuk Wafa’ melebihi doa umi untuk adik-adik lain,”

“ Umi dan Mas’ud tu sama aja....kan Allah ada untuk jaga Wafa’? Umi tak paham ke perasaan Wafa’? Wafa’ tak pernah terfikir untuk melalui semua ni seawal ini,”

“ Memang Umi dan Mas’ud sama. Kami sayangkan Wafa’,” bersahaja jawapan Umi membedil kembali telahan puterinya. Umi memaafkan kekasaran puterinya yang sedang beremosi.

“ Yelah...nanti Kak Long solah istikharah, bagi tahu pihak lelaki anak umi ni muda lagi, baru 21. awal-awal sangat pun tak elok. Kak Long bukan reti apa-apa,” Wafa’ menyudahkan bicaranya di situ. Penuh perasaan dia memberi lafaz putus untuk perbualan malam itu Dia mengorak langkah keluar dari bilik bundanya. Air mata mula menitik...entah mengapa sensitif benar dia belakangan ini. Mudah sekali dia menangis. Umi hanya memandang sepi. Hatinya berperang antara dua keputusan...antara pernikahan puterinya atau meredhai dia diganggu saban hari di sana kelak? Hati sang Umi amat memahami naluri puterinya. Wafa’ sedikit ego, tetapi hatinya lembut. Kalau diberi alasan logika dan rasional, anaknya akan bangkit dan menentang keputusan orang lain demi menegakkan ideanya. Tetapi saat ditujah dengan alasan syara’, dia pasti akan tunduk patuh walaupun semua itu sangat menekan jiwanya.

“ Macam mana?” tanya Abah pada Umi. Abah masuk ke bilik apabila menyedari Wafa’ keluar tadi. Abah begitu segan untuk menyertai suasana tadi. Abah lebih selesa menyerahkan semuanya kepada Umi.

“ Abang pun faham anak kita, kalau tak ada alasan yang syar’ie dia akan pertahankan apa yang dia faham,”

“ Habis tu, apa katanya tu?”

“ Tak bagi kata putus lagi. Nak solah dulu katanya. Sebak juga Shimah mendengar alasan dia,” Umi tunduk memandang lantai bilik yang berwarna hijau muda. Saat ini dia amat memahami betapa tersepitnya atma Wafa’. Mengakhiri zaman gadis tanpa persiapan jiwa adalah suatu yang agak menyukarkan.

“ Perkara yang paling Wafa’ tak suka ialah melakukan sesuatu yang dipaksa,walaupun perkara tu syara’.” Umi teringatkan kata-kata Wafa’ tidak lama dahulu.

“ Kita solah hajat bang,” Umi akhirnya bersuara penuh sebak.

* * *

Wafa’ menangis teresak-esak di birai katilnya. Memasuki gerbang perkahwinan bukanlah suatu yang mudah baginya. Kalau sekadar ber akad nikah dah settle tak apa. Ini tidak....seribu satu tanggungjawab menanti di hadapan. Digagahi kakinya mendekati almari soleknya. Mushaf Al-Quran berwarna biru di capai dengan hati yang masih hambar. Dia duduk di kaki katil. Saat dia membuka mushaf itu air matanya bertambah lebat. Barulah dia teringat mushaf itu merupakan hadiah hantaran pihak lelaki pada hari pertunangannya. Tangannya sepantas kilat melepaskan Quran itu. Mushaf itu terdampar di hujung kakinya. Astaghfirullah....apa aku dah buat ni? Dia mengutip kembali mushaf itu. Saat itu dia terpandangkan jam tangan di tangannya, jam itu pun merupakan hadiah dari Akh Abdullah Mas’ud sebagai menghargai kesudian Wafa’ menerima lamarannya.

Wafa’ meletakkan kepalanya di atas bantal. Ujian ini terlalu kecil, bisiknya perlahan. Pasrahlah kepada Allah, Allah lah yang mencampakkan dirimu ke dalam kemelut ini. Dia terkenangkan pengajiannya di Manchester. Mampukah aku? Baitul Muslim menjadi medan baru untuk mengaplikasikan bekalan yang telah dikutip pada zaman solonya. Dia melihat kelemahan diri yang terlalu banyak....bersediakan Akh Abdullah Mas’ud menerima kecacatan diri ini? Wafa’ juga manusia biasa....walaupun semua orang yang bersama dengannya seringkali memuji peribadinya yang unggul. Namun, insan tetap insan!! Manusia memandangku hebat kerana tidak memandang diriku dari dalam, getus Wafa’ sayu. Dia juga punya nafsu, pendirian dan ideanya sendiri yang adakalanya pantang dicabar. Wafa’ akui dia agak ego, keras kepala, mudah tersentuh, manja dan mudah jemu.

“ Pandanglah semua ni dengan keimanan dan kethiqahan kepada Allah sebagai Rabb dan Ilah Wafa’,” Wafa’ tetap mendiamkan diri. Dia membelakangi pemuda yang sedang menasihatinya. Kali ini, Mus’ab pula mengambil giliran memujuk sang adik yang semakin hari semakin menyepi tanpa sebarang jawapan. Dia juga khuatir adik perempuannya bersendirian mengharungi kancah perjuangan di Manchester. Saban hari semakin mengganas sikap musuh-musuh Islam. Mus’ab tahu masih terlalu banyak perkara yang Wafa’ sembunyikan dari pengetahuan mereka sekeluarga; tentang dia diugut, dicerca, dipermainkan, dianiaya, hatta digoda sekalipun, Wafa’ seorang yang perahsia. Adakalanya amat sukar mentafsirkan gelombang apakah yang melanda sanubari adiknya itu.

“ Apa yang ada dengan segulung ijazah first class yang Wafa’ hajat sangat tu? Dulu...Wafa’ selalu beri nasihat pada Zulfah yang kita memburu redha dan rahmat Allah setiap masa. Apakah dengan meletakkan diri dalam fitnah membantu Wafa’ mendapatkan semua itu? Wanita itu fitnah, wajiblah bagi setiap Muslimah memelihara maruahnya, harga dirinya, dan imannya dari anasir-anasir yang akan mendekatkan dirinya kepada neraka Allah.”

Wafa’ diam seribu bahasa. Dia tunduk kelesuan. Lidahnya beristighfar dan menyeru nama Allah berkali-kali. Ya Ilahi.....aku lemah tanpaMu....

“ Wafa’ belum mencintai Allah. Wafa’ belum lagi memahami rukun bai’ah. Wafa belum mempunyai hati yang cergas dalam zikrullah. Wafa’ tak menjiwai dakwah lagi, hanya berada di pinggiran dakwah kerana Wafa’ terlalu lemah. Tunggulah hingga Wafa’ dah ada semua ni. InsyaAllah, Wafa’ hanya akan walimah setelah Allah Wafa’ cintai. Wafa’ tiada kekuatan untuk menerima sahabat ni benar-benar kerana Allah. Wafa’ takut Wafa’ banyak merungut apabila berdepan dengan kelemahan dan kecacatan dia. Hilanglah pahala Wafa’ sebagai zaujah yang meredhai zaujnya,”

Wafa’ memberi kata putus akhirnya. Umi memegang erat tangan Wafa’. Cincin tunang yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya telah lama dia tanggalkan dari jari hantunya. Dia berangkat ke United Kingdom tanpa cincin itu. Kalaulah akh Abdullah Mas’ud tahu, pasti tersinggung si Mas’ud dengan tindakan puterinya. Namun sang Umi faham....berkali-kali dipujuk hatiya supaya tidak menganggu Wafa’ dengan urusan sebegini. Wafa’ sememangnya benar-benar tidak bersedia. Sedang puterinya enak mengharungi usia gadisnya, tiga empat orang sahabat abangnya masuk melamar. Wafa’ tekad, dia tidak akan mengizinkan mana-mana manusia di dunia ini singgah di hatinya sebelum dia belum benar-benar bulat terhadap Allah. Hanya itu alasan dia menolak mereka. Pada Wafa’, kalaupun dia dianugerahi zauj yang soleh, namun itu bukan dari bahagian sahamnya di akhirat. Masing-masing akan membawa amal mereka sendiri. Wafa’ mengharapkan syurga, Wafa’lah yang perlu mengharungi perit badai untuk menjadi hamba Allah yang Rabbani.

“ Sendiri nak masuk syurga, sendirilah punya perjuangan. Kenapa nak libatkan orang lain untuk memilih jalan ini? Sekiranya Uthman memilih untuk bersama dengan kemuliaan Islam, sesungguhnya Allah ada manhaj yang jelas untuk lelaki menjauhkan diri dari fitnah wanita. Takkan wanita-wanita selemah itu menggoyah hati pemuda yang mengejar syurga Allah?” Zapp.....!! Itu jawapan dari mulut Wafa’ apabila Uthman sahabat abangnya masuk melamar beberapa tahun lalu. Wafa’ tidak menerima alasan Uthman untuk memelihara diri dari tarikan wanita tholehah di luar sana, dia ingin memiliki Wafa’ sebagai penguat dan pendorongnya untuk menolak mereka. Mus’ab hanya mampu meneguk air liur mendengar jawapan adiknya. Keras kepala, jual mahal, tidak memahami orang lain...itulah label yang sesuai buat adiknya, Mus’ab menggetus sendiri.

* * * *

“ Ya Ilaahi, Ya Zal Jalaaliwalikraam.....Engkaulah yang memiliki kehidupanku, Engkaulah yang mengisi hidupku dengan apa yang Engkau sukai. Aku milikMu, jiwaku dalam genggamanMu, hembus nafasku dalam perkenan kehendakMu. Engkaulah Rabb dan Ilahku....

Ya Ilaahi....janganlah pemuda yang hadir dalam hidupku ini melarikan kerinduanku, kecintaan serta pergantunganku pada Mu. Engkau tetap tujuan dan maltamat hidupku. Ya Hayyu ya Qayyum, Peliharalah hatiku dari mengisi ruang cinta di hatiku selain ianya untukMu, untuk DeenMu dan demi redhaMu.

Ya Ilaahi.....ampunilah Abdullah Mas’ud, sibukkanlah dia dengan urusan dakwah dan jihad di jalanMu. Ya Ialahi..terimalah zaujku....aku memberinya untuk kebangkitan DeenMu yang dihina oleh saudara-saudaraku,maka ampunilah mereka yang jahil ya Allah...aku redha dia tidak menemani masa lapangku, kerja-kerja harianku, tidurku juga kerehatanku. Aku redha dia menjadi rijaal DeenMu sehingga dia umpama bukan milikku, tetapi milik dakwahMu. Ambillah dia ya Allah, gunakanlah dia di jalanMu, didiklah dia, tunjukilah dia jalan menuju syurgaMu, buanglah kecintaannya terhadapku seandainya itu yang menghalang dakwah kepadaMu. Ya Rahman, Ya Rahiim....kuatkanlah kami di saat kami diuji dan ditekan Ya Allah. Kami lemah tanpa kekuatanMu, Engkaulah sumber kemenangan dan keteguhan hati kami...”

Basah telekung putih Wafa’ dihujani air mata munajatnya. Dia menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Ya Ilaahi...sekiranya ini yang Engkau mahu, inilah yang aku terima sepenuhnya dariMu, Wafa’ berbisik sendiri. Majlis akad nikah telah selesai malam tadi. Saudara-maranya sibuk membuat persiapan kenduri kesyukuran unuk esok hari. Malam ini adalah malam dia bersama Allah lagi, seperti malam-malam sebelumnya. Dia memberitahu Rabbnya apa yang terjadi. Bukan dia tidak menyedari Allah menyakiskan segala yang berlaku, namun ruh ubudiyyah yang menyelubungi atmanya membuatkan dia tidak tenang tanpa menceritakan semuanya kepada Allah. Dia amat tenang setiap kali selepas lidahnya melafazkan...Ya Allah,aku redha Engkau penyusun hidupku. Susunlah ia sesuka hatimu kerana aku hambaMu.

Abdullah Mas’ud memandang isterinya dari jauh. Wafa’ sedang mesra berbual-bual dengan tetamu uminya. PadaMu kami memuji dan memuja ya Allah, bisik Abdullah Mas’ud. Semoga dia menguatkan hatiku yang lemah, merangsang jiwaku yang banyak berehat, dan menghampirkan aku dengan redha Mu ya Allah. Pemuda itu berdo’a lagi.

“ Akhi, ana ingin menyampaikan keresahan di hati ana, sudikah anta mendengarnya?” Wafa’ berbicara lembut selepas mereka selesai solah tahajjud berjamaah pada malam itu.

“ Apakah lagi yang merisaukan dirimu ya zaujati? Kita telah melaksanakan sunnah Rasulullah yang disukainya,”

“ Ya, anta benar, kita telah pun menjadi suami isteri yang sah di sisi Allah. Namun, apakah iman dan takut kita kepada Allah akan sah di sisiNya bermula saat ini hinggalah kita mati dan berjumpa denganNya nanti?”

Abdullah Mas’ud terdiam. Tiba-tiba air matanya tumpah. Ya Allah...benarkah iman kami?

Wallahua’lam.

No comments: