Wednesday, January 11, 2012

cmne ek nk baca buku dgn betul??

Membaca Secara Berkesan
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D


Membaca adalah satu proses yang sangat penting untuk mendapat ilmu dan maklumat. Kebanyakan pelajar mempunyai tabiat belajar yang buruk. Akibatnya mereka menghadapi masalah seperti cepat bosan, jemu, kurang minat, mengantuk dan sebagainya. Lama-kelamaan jika diteruskan juga akan membuatkan pelajar rasa malas untuk membaca. Kesedaran tentang betapa pentingnya ilmu dalam kehidupan perlu ditanam dalam diri pelajar. Dengan ilmu manusia disanjung, dikagumi dan dihormati. Kejayaan dan kecemerlangan hidup tidak mungkin tercapai tanpa ilmu.

Persediaan Sebelum Membaca.

Langkah-langkah yang berikut perlu diambil untuk memastikan pelajar mampu membaca secara berkesan.

  1. Pilih masa belajar yang sesuai. Waktu belajar yang paling sesuai ialah ketika kurangnya gangguan terhadap tumpuan. Badan tidak letih dan perut tidak terlalu kenyang. Wastu subuh adalah merupakan waktu yang paling ideal untuk belajar.

  2. Pilih suasana yang sesuai. Iaitu suasana yang terang, kemas, bersih, nyaman, tenang dan tersusun.

  3. Pastikan kedudukan badan yang betul dengan buku dijarakkan lebih kurang satu kaki dari mata.

  4. Mulakan dengan bacaan Bismillah dan doa agar diterangkan hati.

Pelbagai Cara Membaca.

Terdapat tiga cara membaca bergantung kepada tujuan satu-satu sessi pembacaan itu dilakukan.

  1. Membaca untuk hiburan. Membaca untuk tujuan berhibur tidak memerlukan daya tumpuan yang tinggi. Bahan-bahan yang biasa dibaca ialah majalah, komik, novel, cerpen, akhbar dan sebagainya.

  2. Membaca untuk mencari maklumat tertentu. Ada ketikanya anda membaca semata-mata untuk mencari maklumat yang tertentu sahaja. Anda boleh membaca seimbas dan pantas bagi mencari lokasi maklumat yang dicari. Anda perlu merujuk kepada isi kandungan dan indeks bagi mendapatkan maklumat dengan lebih cepat. Anda boleh terus membelek muka surat yang berkaitan dan memlambatkan bacaan anda bagi menyaring maklumat yang ada.

  3. Membaca secara kritikal. Membaca cara ini perlu apabila anda membaca untuk memahami konsep, istilah, logik dan sebagainya. Membaca secara kritikal adalah kaedah yang betul ketika menelaah mata pelajaran anda. Dengan menggunakan pendekatan ini, belajar nyata lebih seronok dan tidak membosankan. Minat juga mula terbit apabila anda mula memahami isi kandungan yang dibaca.


Langkah-langkah Membaca Secara Kritikal.

  • Melihat seimbas. Berikan perhatian kepada perkara-perkara yang berikut.
    - Lihat tajuk-tajuk kecil dan dapatkan perkaitan (jika ada) diantara tajuk-tajuk tersebut.
    - Amati seimbas rajah, peta, jadual, carta, radas,gambar dan sebagainya.
    - Lihat soalan-soalan yang ada termasuk soalan-soalan dibahagian belakang sesuatu bab / tajuk utama.
    - Catatkan sebarang persoalan (jika ada) yang timbul dalam fikiran pada sehelai kertas.

  • Baca pendahuluan dan kemudian baca bahagian kesimpulan / penutup.

  • Baca secara terperinci, ayat demi ayat, perenggan demi perenggan. Terjemahkan setiap penjelasan dalam bentuk gambaran minda.

  • Jangan pindah perenggan selagi anda tidak memahami apa yang sedang dibaca. Perlahankan rentak bacaan anda apabila tiba dibahagian yang sukar. Ulang baca beberapa kali sekiranya perlu.

  • Gariskan fakta-fakta penting. Buatkan ringkasan kedalam nota peperiksaan anda.

  • 'Highlight' setiap kata kunci.

  • Gunakan kod warna misalnya warna kuning untuk nama orang, warna biru untuk tarikh dan sebagainya.

  • Yakinkan diri anda yang anda mampu menguasai bahan yang dibaca.

  • Setelah habis satu perenggan, tutup buku dan nota anda. Fikirkan atau gambarkan semula apa yang telah anda baca. Setelah habis satu tajuk kecil, ambilkan sehelai kertas dan lakarkan kembali apa yang telah anda baca dalam bentuk peta minda atau peta konsep.

fokus dlm kelas!

Petua Memberi Tumpuan
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

Kegagalan memberikan tumpuan dalam kelas menyebabkan ramai pelajar gagal meraih keputusan yang baik dalam peperiksaan. Berikut adalah petua yang boleh digunakan untuk meningkatkan tumpuan anda:

  • Semak seimbas nota yang telah diberikan oleh guru terdahulu sebelum memulakan kelas. Sekiranya ada bahagian yang anda tidak faham atau keliru maka tanyakan pada guru sebelum bermulanya kelas tersebut. Jangan biarkan ketidakfahaman atau kekeliruan itu mengganggu anda. Guru mungkin akan mengajar lebih mendalam hari ini dan sekiranya anda tidak merungkai kekeliruan itu anda akan terus ketinggalan dalam mengikuti apa yang diajar.

  • Baca juga bahan yang bakal diajarkan oleh guru nanti. Walau pun anda tidak memahami keseluruhan apa yang dibaca sekurang-kurangnya anda tahu apa yang akan diajar oleh guru kelak. Secara tidak langsung tumpuan dan minat anda meningkat.

  • Cuba duduk di barisan depan dalam kelas. Sekiranya anda duduk di tepi tingkap, tutup tingkap ketika guru mengajar.

  • Jangan alih mata anda dari melihat guru dan lihat apa yang ditulis di papan hitam/putih.

  • Tunjukkan minat yang mendalam. Perbetulkan kedudukan anda dan ceriakan wajah anda. Ingat apa yang diajar itu jauh lebih penting daripada siapa yang mengajar. Yakinkan diri anda betapa pentingnya tumpuan dalam kelas. Ingat!! Ia menyumbang 50% dari keseluruhan markah peperiksaan kelak.

  • Pasang telinga. Dengar dan fahami setiap patah perkataan yang disampaikan. Terjemahkan apa yang disampaikan oleh guru ke dalam bentuk gambaran minda.

  • Catat setiap fakta penting atau fakta yang anda sangka penting, sama ada fakta-fakta yang ditulis atau yang diucapkan oleh guru.

  • Catat setiap perkara yang anda tidak faham. Catatkan juga setiap soalan yang terbit dalam fikiran anda. Gunakan tujuh perkataan berikut untuk membina soalan Apa? Siapa? Bila? Berapa? Dimana? Kenapa? Bagaimana?

  • Gunakan buku khas untuk tujuan catatan ini, atau gunakan kaedah mengambil nota berkesan. Sekiranya berpeluang segera angkat tangan dan tanya guru. Tanya untuk dapatkan lebih huraian; tanya untuk memastikan kefahaman anda betul; atau tanya kerana ada soalan-soalan yang lebih spesifik. Antara tanda-tanda yang anda telah memberikan tumpuan ialah anda TAHU apa yang anda TIDAK TAHU.

  • Jangan hiraukan sebarang gangguan dari rakan-rakan. Jangan bertindak balas terhadap usikan dan gurauan mereka ketika kelas berjalan.

  • Kajian menunjukkan bahawa anda lupa 80% dari apa yang telah dipelajari dalam masa 24 jam. Oleh itu segera menyemak apa yang telah diajar serta merta apabila guru keluar dari kelas

jom bace!

Prinsip Memori
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

Minat. Untuk mengingati sesuatu fakta anda mestilah mempunyai minat untuk mengetahui tentangnya. Anda mesti mempunyai sebab kenapa mahu mengingatinya. Fikirkan langkah-langkah yang boleh anda ambil untuk meningkatkan minat anda ketika belajar atau ketika berada dalam kelas. Sekiranya anda sedar yang anda tidak berminat pada satu-satu mata pelajaran atau pada seorang guru, lakukanlah usaha untuk memperbaiki diri anda demi masa depan anda. Langkah-langkah seperti berikut boleh membantu:

  • Dapatkan rakan yang hebat dalam pelajaran tersebut.

  • Kenali guru anda dan cuba fikirkan kebaikan-kebaikannya daripada memikirkan keburukan-keburukannya

  • Lakukan lebih banyak latihan untuk menguasai mata pelajaran tersebut. Mulakan sedikit dahulu, apabila anda menguasai, walaupun sedikit, anda akan mula lihat bahawa anda punya potensi untuk pergi lebih jauh. Minat mula berputik

  • Cari jalan untuk mempraktikkan apa yang anda pelajari. Pelajaran bahasa memerlukan anda sentiasa bercakap menggunakan bahasa tersebut

Berhasrat Untuk Mengingatinya. Hasrat yang sungguh-sungguh untuk mengingati sesuatu fakta. Berfikir secara positif dan katakan pada diri yang anda pasti boleh mengingatinya. Amalkan sikap yang anda pasti mempelajari dan menguasainya sekarang, bukan esok bukan akan datang. Langkah-langkah berikut turut membantu:

  • Anggapkan bahawa guru akan memberikan kuiz dipenghujung sessi, ganjarannya ialah RM10 untuk setiap soalan yang dijawab dengan betul.

  • Rekodkan pada sehelai kertas setiap kali anda meyedari yang fikiran anda melayang. Serta merta kembali berikan tumpuan. Dengan cara ini anda melazimkan minda anda untuk berusaha memberikan tumpuan.

  • Apabila membaca cuba berkata-kata kembali dengan penulisnya (walaupun penulis sebenarnya tidak ada dihadapan anda).

  • Ketika guru mengajar bentuk soalan sebanyak mungkin dan soal ketika berpeluang.

Pengetahuan Asas. Pemahaman anda tentang sesuatu subjek baru bergantung kepada sejauh mana pengetahuan anda tentang subjek tersebut sebelumnya, dan juga subjek-subjek yang berkaitan dengannya. Lagi mantap pengetahuan asas anda, lagi mudah anda menguasai subjek yang baru dipelajari.

Tip: Lagi banyak pengetahuan asas anda tentang sesuatu pelajaran lagi mudah untuk anda lebih mengetahui tentangnya.

Langkah-langkah yang boleh diambil:

  • Buat imbasan sebelum mempelajari pelajaran / tajuk baru (Lihat bahagian membaca kritikal).

  • Baca bahan sebelum bermulanya kelas. Baca walaupun anda tidak begitu memahaminya. Ini akan menjadi pengetahuan asas untuk anda.

  • Mulakan dari yang mudah kepada yang susah. Jangan abaikan perkara asas walaupun nampak mudah.

  • Lakukan usaha pengayaan bahan, baca buku-buku tambahan, cari bahan dalam internet dan sebagainya.

Pemilihan. Anda mesti mampu menilai bahagian mana yang lebih penting dan pilih bahagian tersebut untuk didalami. Minda tidak mampu untuk menguasai sepenuhnya subjek baru dalam sesuatu masa. Minda juga mempunyai had untuk mencerap perkara baru. Oleh itu pilihlah perkara yang paling penting dulu untuk dipelajari, bermula dari sini anda boleh mengembangkan pengetahuan anda dengan menjadikan perkara yang telah dipelajari ini sebagai pengetahuan asas anda.

Pengecilan Saiz Maklumat. Anda boleh belajar dan mengingati fakta dengan lebih baik sekiranya anda mampu mengagihkan fakta-fakta tersebut kepada beberapa kumpulan tertentu yang lebih kecil. (Lihat bahagian Teknik Ceraian).

Recitation. Menyebut fakta atau ide dengan suara yang boleh didengari oleh telinga anda mempercepatkan maklumat dipindah dari memori jangka pendek ke memori jangka panjang. Penyebutan berhasil kerana beberapa sebab:

Anda tahu anda perlu menyebutnya dengan menggunakan ayat sendiri, maka anda akan berikan lebih tumpuan. Anda juga meningkatkan hasrat untuk mengingatinya.

Anda mendapat maklumbalas segera sama ada anda mampu mengeluarkan semula maklumat tersebut. Sekiranya anda telah menguasai sesuatu subjek maka anda juga pasti boleh menerang dan mengajarkannya semula.

Apabila anda mendengar setiap patah perkataan, anda menggunakan bahagian otak yang lain untuk memproses maklumat.

Tip :

  • Gunakan kad kecil.

  • Setiap kali habis baca satu perenggan, berhenti sejenak, jelaskan semula kepada diri anda apa yang telah anda pelajari dengan menyebutnya dalam perkataan anda sendiri.

  • Dapatkan rakan yang boleh sama-sama menyoal dan menjawab.

Leceh? Memang melecehkan tetapi jauh lebih baik daripada anda membaca tetapi tidak faham dan tidak ingat.

Gambaran Minda. Ini adalah prinsip memori yang sangat penting. Kaedah ini memerlukan anda menggambarkan setiap fakta yang anda mahu ingat. Dengan menggambarcara anda menggunakan otak kanan anda seiring dengan membaca yang menggunakan otak kiri. Begitu juga ketika guru mengajar, tukarkan setiap penyampaian guru ke dalam bentuk gambaran minda. Sebenarnya minda anda telahpun melakukan proses ini tanpa anda sedari tetapi untuk meningkatkan ingata anda perlu melakukan usaha sendiri untuk menggambarkannya. Kita akan mempelajari 80% dari apa yang kita lihat daripada apa yang kita dengar. Walau bagaimana rumit sekali pun cuba dapatkan ide untuk menggambarkan setiap apa yang dipelajari. Tanya diri anda soalan berikut:

  • Bolehkah fakta ditukarkan kepada carta atau graf?

  • Bolehkan anda melakar atau melukis?

  • Bolehkan anda buatkan cerita dalam minda?

  • Bolehkan dihasilkan peta minda?

Association. Ingatan akan lebih kuat dan lebih lama sekiranya sesuatu yang mahu diingati itu unik, ganjil, atau boleh dikaitkan dengan sesuatu yang anda ketahui sebelum ini.

Consolidation. Minda anda memerlukan masa untuk maklumat baru tersimpan. Apabila anda membuat nota dan mengimbas semula serta merta setelah tamatnya kelas bermakna anda telah membolehkan maklumat tersimpan lebih lama. Memori jangka pendek hanya mampu menyimpan 5 hingga 7 maklumat sahaja dalam sesuatu masa. Sekiranya maklumat ini tidak dipindahkan ke memori jangka panjang maka potensi untuk anda lupa adalah tinggi. Anda biasanya didatangkan dengan begitu banyak maklumat ketika belajar. Oleh itu anda perlu menggunakan kaedah dibawah bagi mengekalkan maklumat-maklumat tersebut.

  • Membuat nota.

  • Bertanya soalan dalam kelas.

  • Mengimbas semula nota.

  • Berhenti disetiap perenggan dan tuliskan soalan atau soal diri anda apa yang telah anda pelajari.

  • Membuat gambaran minda.

  • Menyebut kembali apa yang dibaca dalam ayat sendiri.

  • Membuat kad kecil.

  • Menguji diri dengan kuiz atau soalan.

Mengagih Latihan. Beberapa siri sessi belajar yang pendek adalah lebih baik dari satu sessi belajar yang panjang. Pendekatan ini perlu digunakan untuk mata pelajaran yang anda sukar fahami atau sukar dikuasai. Sebab minat anda tentang mata pelajaran ini kurang atau tiada langsung sedangkan mata pelajaran tersebut penting.

Mengagih masa latihan memberikan masa untuk maklumat dicerap dan disimpan. Ia juga membolehkan anda membina pengetahuan asas tentang pelajaran tersebut.

perkongsian...khas utk pelajar..

Mengurus Masa Belajar
Oleh: Dr. Tengku Asmadi bin Tengku Mohamad, Ph.D

Pelajar perlulah bijak menguruskan masa mereka agar dapat diseimbangkan antara aktiviti mengulangkaji dengan aktiviti-aktiviti lain. Kegagalan mengurus dan mengatur masa dengan berkesan antara faktor kegagalan dalam pelajaran. Sebagai pelajar anda mestilah:

  1. Pastikan waktu mengulangkaji anda lebih daripada 3 jam sehari. Malah semakin hampir dengan peperiksaan anda perlu belajar sehingga 5 - 7 jam sehari. Jangan pula salah faham, maksud 5 - 7 jam ini bukanlah belajar secara berterusan. Anda mungkin belajar 1 jam di waktu subuh, 2 jam diwaktu petang dan 3 jam diwaktu malam. Ini menjadikan masa belajar anda 6 jam sehari.

  2. Tahap konsentrasi atau tumpuan belajar adalah berbeza. Ada pelajar yang boleh tumpu selama 1 jam dan ada pula yang hanya bertahan selama 20 minit. Jangan paksa diri anda. Sekiranya anda rasakan tumpuan anda mula terganggu, ambillah rehat seketika. Iaitu lebih kurang 5 minit. Selepas itu sambung semula belajar. Sebelum anda sambung belajar, cuba imbas kembali apa yang telah anda ketahui sebelumnya.

  3. Dalam satu sessi belajar, pelbagaikan aktiviti belajar anda supaya tidak jemu. Selang selikan aktiviti membaca dengan membuat nota, menceritakan semula apa yang telah dipelajari, membuat peta minda atau peta konsep, menjawab soalan-soalan, melakar rajah dan sebagainya.

  4. Jangan letakkan matlamat membaca yang terlalu besar. Jumlah bahan yang mahu diulangkaji mestilah anda tahu yang anda mampu menghabiskannya dalam masa belajar yang telah ditetapkan. Misalnya, meletakkan matlamat untuk membaca 100 muka surat dalam masa 1 jam adalah tidak realistik. Sebaliknya, matlamat untuk menghabiskan dan memahami 20 mukasurat lebih munasabah dan boleh dicapai.

  5. Sediakan jadual belajar atau perancangan mingguan tetang bahan-bahan yang mahu diulangkaji. Dengan adanya jadual belajar ini maka anda tahu berapa banyak bahan yang perlu dihabiskan setiap minggu bagi membolehkan anda bersedia sebelum peperiksaan.

  6. Sediakan senarai tugas harian ("TO DO" lists) pada malam sebelumnya. Maknanya anda tahu apa yang mahu disiapkan esok hari. Tentukan tahap keutamaan dan kepentingan setiap butiran tugas yang telah disenaraikan. Seperti yang dikatakan oleh Stephen Covey "Put first things first".

  7. Rekodkan progress anda pada sehelai kertas. Setakat mana telah anda jayakan perancangan anda? Pangkah setiap tugas yang telah diselesaikan dengan jayanya dalam senarai “to do” anda.

  8. Ganjari diri anda setiap kali anda berjaya mencapai setiap perancangan yang telah anda senaraikan.

  9. Gunakan teknik membaca yang berkesan. Membaca 1 jam penuh tumpuan lebih baik dari membaca 3 jam dengan fikiran melayang.

  10. Fokus sekurang-kurangnya 50% daripada masa belajar anda terhadap proses “RECALL”. Iaitu proses memanggil semula maklumat.

  11. Gunakan Kad Kecil untuk memenuhi pecahan masa yang kecil-kecil diantara kelas, ketika menunggu, selepas rehat sebelum masuk kelas, dan lain-lain. Sekiranya anda hitung pecahan masa yang kecil-kecil ini anda akan dapati jumlahnya 1 - 2 jam dalam sehari. Oleh itu manfaatkan pecahan masa ini dengan mengimbas Kad Kecil.

  12. Tahukah anda sekiranya anda belajar konsisten 1 jam sehari, ini bermakna anda hanya belajar selama 15 hari sahaja dalam setahun? Kemana perginya lagi 350 hari masa anda?

  13. TAHUKAH ANDA?Kalau anda ditakdirkan hidup selama 90 tahun,
    anda menghabiskan 30 tahun dari usia anda hanya untuk tidur..

cara betul memberi salam~

Ilmu utk dikongsi bersama. Sekadar peringatan untuk semua rakan-rakan muslim yang lain.

Pagi semalam saya dengar radio ikim (91.50 fm). Ustaz Zawawi ada cerita tentang sunnah Rasulallah s.a.w. Antara yang dibincangkannya ialah tentang bab cara memberi salam.

Menurut ustaz Zawawi Yusof, Baginda SAW memberi salam dengan lafaz “Assalamualaikum” dan menjawab salam dari para sahabat baginda dengan salam yang lengkap iaitu “Waalaikumussalam warahmatulallahhi wabarakatuh”

Ringkasnya, baginda SAW akan ;
Beri salam dengan ucapan - “Assalamualaikum”
dan…
Jawab salam – “Waalaikumussalam warahmatulallah”

Lagi satu, perlu diingatkan juga semasa menjawab salam, saya dengar ramai orang jawab salam dengan ucapan yang tidak tepat.

Jawab salam yang betul ialah ; “WAALAI KUMUS SALAM”
dan bukannya yang selalu saya dengar iaitu ; “WAALAI KUM SALAM”

Selain itu, janganlah kita menggantikan perkataan “Assalamualaikum” dengan “A’kum” dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan.

Sesama lah kita memberitahu member-member yang selalu sangat guna shortform “A’kum” dalam sms ataupun email. Perkataan ‘AKUM‘ adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud ‘BINATANG‘ dalam Bahasa Ibrani.

Ia singkatan daripada perkataan ‘Avde Kokhavim U Mazzalot’ yang bermaksud ‘HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT‘.

Jadi, mulai sekarang jika ada orang hantar shortform “A’kum“, kita ingatkan dia guna “Salam” atau ”Assalamualaikum“.

Sekian, semoga ada manfaatnya.

Diterima melalui email daripada : Tiey_wawa (idola84_s@yahoo.com

hukum tulis lafaz salam..a'kum..askum...

Sedang saya khusyuk membaca beberapa email dari kawan-kawan, saya terbaca satu email yang menerangkan tentang persoalan mengenai cara menulis kalimah salam. Ianya betul-betul menarik perhatian saya kerana sebelum ini saya pernah berkongsi 1 artikel di dalam blog ini yang menerangkan tentang “Cara Betul Memberi Salam“.

Apakah salam wajib dan perlu ditulis penuh “Assalamualaikum” atau boleh disingkatkan menjadi “Akum”, “Askum”, “Aslkum” dan sebagainya?

Berikut adalah penerangan yang saya terima melalui email seorang rakan, yang saya kira bagus untuk kita sama-sama ambil perhatian dan fikir-fikirkan.

Adakah wajib lafaz salam ditulis dengan penuh??


Salam,

Terima kasih atas “teguran” atau “peringatan” yang diberi.

Bagaimanapun, saya tidak lah termasuk di kalangan orang yang bersetuju untuk mensyaratkan assalamualaikum di tulis penuh. Tidaklah saya ketahui apakah dalil khusus yang digunakan bagi mensyarat dan mewajibkannya.

Menurut Islam, yang lebih penting adalah “kefahaman intipati”. Jika anda faham ianya adalah lafaz penuh, maka tiada lagi masalah bagi menulis ringkasannya. Perlulah memahami Maqasid Shariah (objektif dari hukum Shariah) dalam hal ini. objektif shariah dalam hal memberi salam adalah sunnah dan mendoakan saudara seIslam. Ia dibuat dalam bentuk verbal biasanya. Apabila ditulis secara tulisan, jika benar formal, bolehlah anda menulisnya dengan lengkap, tetapi di kala tidak formal, yang penting maksud shariahnya sampai.

Tulisan “salam” atau “akum” atau “askum”, sudah tentulah bermaksud lafaz salam yang penuh, tiada siapa yang akan menulisnya kecuali bermaksud lafaz salam yang penuh. Maka adalah menjadi suatu kecacatan sendiri apabila si pembaca membacanya dengan lafaz singkat. Sebagaimana singkatan “utk”, “dsbg” dan difahami secara automatik ia adalah bermakna “untuk”, “dan sebagainya”.

Justeru, Islam adalah agama yang memudahkan dan bukan menyusahkan dengan perkara amat cabang dan kecil ini, bagi merasakan inidvidu yang menggunakannya adalah salah. Bagi saya, orang yang mengganggap salah itulah yang salah.

Adalah logik dan diterima Syara’ utk menggunakan singkatan bagi lafaz salam di sms, mahupun email dan lain-lain tempat yang sesuai, kerana ia tetap bermaksud lafaz salam yang ditujukan.

Saya sebenarnya amat pelik, saya telah selalu membaca dan mendengar pertikaian seperti ini, tetapi ini yang pertama kali saya ditujukan secara peribadi, persoalannya mengapa isu yang sekecil ini juga terdapat perdebatan. amat membuang masa..

Ustaz Zaharuddin Abd Rahman (http://www.zaharuddin.net/)

sambungan..gerhana seorang da'i


“ Umi risau Kak Long sorang-sorang di sana. Pihak lelaki minta diawalkan,”

Umi memujuk Wafa’ dengan penuh rasa kasih selaku seorang ibu. Wafa’ diam seribu bahasa. Dia memandang langit biru yang kelam. Malam itu bintang tidak kelihatan. Nak hujan kot, bisik Wafa’ membuat tekaan sendiri. Umi bangun dari katil, mendekati Wafa’ yang berdiri di sisi tingkap.

“ Boleh Kak Long? Kak Long cuti ada lagi 2 bulan lebih , sempat kalau Kak Long nak menyediakan diri,” Umi memujuk lagi. Hati ibu mana tidak resah melepaskan puteri sulongnya merantau ke negara kuffar sendirian tanpa mahram di sisi.

“ Abah tak kata apa-apa?”

“ Abah pesan jangan paksa Kak Long,”

“ Dah tu?” Wafa’ merespon sedikit kasar. Hatinya bengang. Janji waktu bertunang dulu pihak lelaki sanggup tunggu hingga dia menyelesaikan degree nya. Tapi sekarang lain pula bunyinya...

“ Bukan soal janji Kak Long. Tapi soal Kak Long di ganggu di sana,”

Wafa’ memejam matanya erat, sedih bercampur kesal. Dia mula menyalahkan dirinya kerana menceritakan peristiwa dia di ganggu oleh pemuda berkulit hitam setiap hari. Kalau tak cerita, tak akan jadii macam ni....!! Wafa’ beristighfar, terasa syaitan mula merangsang amarahnya sekali gus menghangatkan emosinya. Dia seperti mahu mengungkit kisah silam. Wafa’ bertunang pun atas gesaan keluarganya. Yang paling menyentuh hati, pertunangan di adakan dalam suasana yang sangat tergesa-gesa, beberapa hari sebelum dia berangkat ke United Kingdom 2 tahun lalu. Dia beristighfar lagi....dia terlupa hidup ini diatur Allah dengan sebaik-baik pengaturan. Tiada silap tiada cela. Belajarlah menerima rentetan perjalanan yang adakalanya sangat memeritkan. Inilah kehidupan....

“ Lagi setahun setengah aja,bukannya lama mak,” Wafa’ bersuara lagi setelah menyepi agak lama. Umi mengurut bahu Wafa’ dengan tangan kanannya. Hati umi sentiasa berdoa semoga dibukakan hati puteri kesayangannya.

“ Dia tak apelah, dah ada Master, Kak Long ni harapkan sijil matrikulasi tu aja.”

“ Kan tak elok kalau dah berumur nanti baru nak kenduri. Dia pun dah nak masuk 25, nak tunggu lama-lama tak sopan. Tak elok bertunang lama-lama,”

“ Dulu, kenapa tak cakap pun yang bertunang lama-lama tu tak elok? Kenapa sekarang baru nak ungkit? Dah tak tahan?!” Wafa’ melepas geram. Hatinya mula membara.

“ Kak Long, solehnya mulut tu,” Umi menegur keceluparan mulut puterinya.

“ Umi dah jemu jaga Wafa’ ke? Kanapa begitu cepat umi nak bagi orang lain yang didik Wafa? Wafa’ tau Wafa’ banyak menyusahkan hati mak.”

“ Bukan macam tu Kak Long. Umi risau sangat Kak Long di sana. Setiap malam umi doa untuk Wafa’ melebihi doa umi untuk adik-adik lain,”

“ Umi dan Mas’ud tu sama aja....kan Allah ada untuk jaga Wafa’? Umi tak paham ke perasaan Wafa’? Wafa’ tak pernah terfikir untuk melalui semua ni seawal ini,”

“ Memang Umi dan Mas’ud sama. Kami sayangkan Wafa’,” bersahaja jawapan Umi membedil kembali telahan puterinya. Umi memaafkan kekasaran puterinya yang sedang beremosi.

“ Yelah...nanti Kak Long solah istikharah, bagi tahu pihak lelaki anak umi ni muda lagi, baru 21. awal-awal sangat pun tak elok. Kak Long bukan reti apa-apa,” Wafa’ menyudahkan bicaranya di situ. Penuh perasaan dia memberi lafaz putus untuk perbualan malam itu Dia mengorak langkah keluar dari bilik bundanya. Air mata mula menitik...entah mengapa sensitif benar dia belakangan ini. Mudah sekali dia menangis. Umi hanya memandang sepi. Hatinya berperang antara dua keputusan...antara pernikahan puterinya atau meredhai dia diganggu saban hari di sana kelak? Hati sang Umi amat memahami naluri puterinya. Wafa’ sedikit ego, tetapi hatinya lembut. Kalau diberi alasan logika dan rasional, anaknya akan bangkit dan menentang keputusan orang lain demi menegakkan ideanya. Tetapi saat ditujah dengan alasan syara’, dia pasti akan tunduk patuh walaupun semua itu sangat menekan jiwanya.

“ Macam mana?” tanya Abah pada Umi. Abah masuk ke bilik apabila menyedari Wafa’ keluar tadi. Abah begitu segan untuk menyertai suasana tadi. Abah lebih selesa menyerahkan semuanya kepada Umi.

“ Abang pun faham anak kita, kalau tak ada alasan yang syar’ie dia akan pertahankan apa yang dia faham,”

“ Habis tu, apa katanya tu?”

“ Tak bagi kata putus lagi. Nak solah dulu katanya. Sebak juga Shimah mendengar alasan dia,” Umi tunduk memandang lantai bilik yang berwarna hijau muda. Saat ini dia amat memahami betapa tersepitnya atma Wafa’. Mengakhiri zaman gadis tanpa persiapan jiwa adalah suatu yang agak menyukarkan.

“ Perkara yang paling Wafa’ tak suka ialah melakukan sesuatu yang dipaksa,walaupun perkara tu syara’.” Umi teringatkan kata-kata Wafa’ tidak lama dahulu.

“ Kita solah hajat bang,” Umi akhirnya bersuara penuh sebak.

* * *

Wafa’ menangis teresak-esak di birai katilnya. Memasuki gerbang perkahwinan bukanlah suatu yang mudah baginya. Kalau sekadar ber akad nikah dah settle tak apa. Ini tidak....seribu satu tanggungjawab menanti di hadapan. Digagahi kakinya mendekati almari soleknya. Mushaf Al-Quran berwarna biru di capai dengan hati yang masih hambar. Dia duduk di kaki katil. Saat dia membuka mushaf itu air matanya bertambah lebat. Barulah dia teringat mushaf itu merupakan hadiah hantaran pihak lelaki pada hari pertunangannya. Tangannya sepantas kilat melepaskan Quran itu. Mushaf itu terdampar di hujung kakinya. Astaghfirullah....apa aku dah buat ni? Dia mengutip kembali mushaf itu. Saat itu dia terpandangkan jam tangan di tangannya, jam itu pun merupakan hadiah dari Akh Abdullah Mas’ud sebagai menghargai kesudian Wafa’ menerima lamarannya.

Wafa’ meletakkan kepalanya di atas bantal. Ujian ini terlalu kecil, bisiknya perlahan. Pasrahlah kepada Allah, Allah lah yang mencampakkan dirimu ke dalam kemelut ini. Dia terkenangkan pengajiannya di Manchester. Mampukah aku? Baitul Muslim menjadi medan baru untuk mengaplikasikan bekalan yang telah dikutip pada zaman solonya. Dia melihat kelemahan diri yang terlalu banyak....bersediakan Akh Abdullah Mas’ud menerima kecacatan diri ini? Wafa’ juga manusia biasa....walaupun semua orang yang bersama dengannya seringkali memuji peribadinya yang unggul. Namun, insan tetap insan!! Manusia memandangku hebat kerana tidak memandang diriku dari dalam, getus Wafa’ sayu. Dia juga punya nafsu, pendirian dan ideanya sendiri yang adakalanya pantang dicabar. Wafa’ akui dia agak ego, keras kepala, mudah tersentuh, manja dan mudah jemu.

“ Pandanglah semua ni dengan keimanan dan kethiqahan kepada Allah sebagai Rabb dan Ilah Wafa’,” Wafa’ tetap mendiamkan diri. Dia membelakangi pemuda yang sedang menasihatinya. Kali ini, Mus’ab pula mengambil giliran memujuk sang adik yang semakin hari semakin menyepi tanpa sebarang jawapan. Dia juga khuatir adik perempuannya bersendirian mengharungi kancah perjuangan di Manchester. Saban hari semakin mengganas sikap musuh-musuh Islam. Mus’ab tahu masih terlalu banyak perkara yang Wafa’ sembunyikan dari pengetahuan mereka sekeluarga; tentang dia diugut, dicerca, dipermainkan, dianiaya, hatta digoda sekalipun, Wafa’ seorang yang perahsia. Adakalanya amat sukar mentafsirkan gelombang apakah yang melanda sanubari adiknya itu.

“ Apa yang ada dengan segulung ijazah first class yang Wafa’ hajat sangat tu? Dulu...Wafa’ selalu beri nasihat pada Zulfah yang kita memburu redha dan rahmat Allah setiap masa. Apakah dengan meletakkan diri dalam fitnah membantu Wafa’ mendapatkan semua itu? Wanita itu fitnah, wajiblah bagi setiap Muslimah memelihara maruahnya, harga dirinya, dan imannya dari anasir-anasir yang akan mendekatkan dirinya kepada neraka Allah.”

Wafa’ diam seribu bahasa. Dia tunduk kelesuan. Lidahnya beristighfar dan menyeru nama Allah berkali-kali. Ya Ilahi.....aku lemah tanpaMu....

“ Wafa’ belum mencintai Allah. Wafa’ belum lagi memahami rukun bai’ah. Wafa belum mempunyai hati yang cergas dalam zikrullah. Wafa’ tak menjiwai dakwah lagi, hanya berada di pinggiran dakwah kerana Wafa’ terlalu lemah. Tunggulah hingga Wafa’ dah ada semua ni. InsyaAllah, Wafa’ hanya akan walimah setelah Allah Wafa’ cintai. Wafa’ tiada kekuatan untuk menerima sahabat ni benar-benar kerana Allah. Wafa’ takut Wafa’ banyak merungut apabila berdepan dengan kelemahan dan kecacatan dia. Hilanglah pahala Wafa’ sebagai zaujah yang meredhai zaujnya,”

Wafa’ memberi kata putus akhirnya. Umi memegang erat tangan Wafa’. Cincin tunang yang disarungkan oleh bakal ibu mertuanya telah lama dia tanggalkan dari jari hantunya. Dia berangkat ke United Kingdom tanpa cincin itu. Kalaulah akh Abdullah Mas’ud tahu, pasti tersinggung si Mas’ud dengan tindakan puterinya. Namun sang Umi faham....berkali-kali dipujuk hatiya supaya tidak menganggu Wafa’ dengan urusan sebegini. Wafa’ sememangnya benar-benar tidak bersedia. Sedang puterinya enak mengharungi usia gadisnya, tiga empat orang sahabat abangnya masuk melamar. Wafa’ tekad, dia tidak akan mengizinkan mana-mana manusia di dunia ini singgah di hatinya sebelum dia belum benar-benar bulat terhadap Allah. Hanya itu alasan dia menolak mereka. Pada Wafa’, kalaupun dia dianugerahi zauj yang soleh, namun itu bukan dari bahagian sahamnya di akhirat. Masing-masing akan membawa amal mereka sendiri. Wafa’ mengharapkan syurga, Wafa’lah yang perlu mengharungi perit badai untuk menjadi hamba Allah yang Rabbani.

“ Sendiri nak masuk syurga, sendirilah punya perjuangan. Kenapa nak libatkan orang lain untuk memilih jalan ini? Sekiranya Uthman memilih untuk bersama dengan kemuliaan Islam, sesungguhnya Allah ada manhaj yang jelas untuk lelaki menjauhkan diri dari fitnah wanita. Takkan wanita-wanita selemah itu menggoyah hati pemuda yang mengejar syurga Allah?” Zapp.....!! Itu jawapan dari mulut Wafa’ apabila Uthman sahabat abangnya masuk melamar beberapa tahun lalu. Wafa’ tidak menerima alasan Uthman untuk memelihara diri dari tarikan wanita tholehah di luar sana, dia ingin memiliki Wafa’ sebagai penguat dan pendorongnya untuk menolak mereka. Mus’ab hanya mampu meneguk air liur mendengar jawapan adiknya. Keras kepala, jual mahal, tidak memahami orang lain...itulah label yang sesuai buat adiknya, Mus’ab menggetus sendiri.

* * * *

“ Ya Ilaahi, Ya Zal Jalaaliwalikraam.....Engkaulah yang memiliki kehidupanku, Engkaulah yang mengisi hidupku dengan apa yang Engkau sukai. Aku milikMu, jiwaku dalam genggamanMu, hembus nafasku dalam perkenan kehendakMu. Engkaulah Rabb dan Ilahku....

Ya Ilaahi....janganlah pemuda yang hadir dalam hidupku ini melarikan kerinduanku, kecintaan serta pergantunganku pada Mu. Engkau tetap tujuan dan maltamat hidupku. Ya Hayyu ya Qayyum, Peliharalah hatiku dari mengisi ruang cinta di hatiku selain ianya untukMu, untuk DeenMu dan demi redhaMu.

Ya Ilaahi.....ampunilah Abdullah Mas’ud, sibukkanlah dia dengan urusan dakwah dan jihad di jalanMu. Ya Ialahi..terimalah zaujku....aku memberinya untuk kebangkitan DeenMu yang dihina oleh saudara-saudaraku,maka ampunilah mereka yang jahil ya Allah...aku redha dia tidak menemani masa lapangku, kerja-kerja harianku, tidurku juga kerehatanku. Aku redha dia menjadi rijaal DeenMu sehingga dia umpama bukan milikku, tetapi milik dakwahMu. Ambillah dia ya Allah, gunakanlah dia di jalanMu, didiklah dia, tunjukilah dia jalan menuju syurgaMu, buanglah kecintaannya terhadapku seandainya itu yang menghalang dakwah kepadaMu. Ya Rahman, Ya Rahiim....kuatkanlah kami di saat kami diuji dan ditekan Ya Allah. Kami lemah tanpa kekuatanMu, Engkaulah sumber kemenangan dan keteguhan hati kami...”

Basah telekung putih Wafa’ dihujani air mata munajatnya. Dia menerima segalanya dengan hati yang terbuka. Ya Ilaahi...sekiranya ini yang Engkau mahu, inilah yang aku terima sepenuhnya dariMu, Wafa’ berbisik sendiri. Majlis akad nikah telah selesai malam tadi. Saudara-maranya sibuk membuat persiapan kenduri kesyukuran unuk esok hari. Malam ini adalah malam dia bersama Allah lagi, seperti malam-malam sebelumnya. Dia memberitahu Rabbnya apa yang terjadi. Bukan dia tidak menyedari Allah menyakiskan segala yang berlaku, namun ruh ubudiyyah yang menyelubungi atmanya membuatkan dia tidak tenang tanpa menceritakan semuanya kepada Allah. Dia amat tenang setiap kali selepas lidahnya melafazkan...Ya Allah,aku redha Engkau penyusun hidupku. Susunlah ia sesuka hatimu kerana aku hambaMu.

Abdullah Mas’ud memandang isterinya dari jauh. Wafa’ sedang mesra berbual-bual dengan tetamu uminya. PadaMu kami memuji dan memuja ya Allah, bisik Abdullah Mas’ud. Semoga dia menguatkan hatiku yang lemah, merangsang jiwaku yang banyak berehat, dan menghampirkan aku dengan redha Mu ya Allah. Pemuda itu berdo’a lagi.

“ Akhi, ana ingin menyampaikan keresahan di hati ana, sudikah anta mendengarnya?” Wafa’ berbicara lembut selepas mereka selesai solah tahajjud berjamaah pada malam itu.

“ Apakah lagi yang merisaukan dirimu ya zaujati? Kita telah melaksanakan sunnah Rasulullah yang disukainya,”

“ Ya, anta benar, kita telah pun menjadi suami isteri yang sah di sisi Allah. Namun, apakah iman dan takut kita kepada Allah akan sah di sisiNya bermula saat ini hinggalah kita mati dan berjumpa denganNya nanti?”

Abdullah Mas’ud terdiam. Tiba-tiba air matanya tumpah. Ya Allah...benarkah iman kami?

Wallahua’lam.